Rabu, 28 Januari 2009

Usah alah amukan anak

  • PERNAHKAH berdepan situasi anak berguling di pusat beli-belah apabila kehendaknya tidak dipenuhi? Atau si anak mula membuat perangai apabila anda sibuk melayan tetamu yang ramai di rumah? Sebagai anak, mereka lazimnya tidak peduli perasaan ibu bapa biarpun ramai berpandangan agak sinis melihat keadaan sedemikian. Apa yang difikirkan si anak cuma meluahkan rasa marah, geram dan kecewa kerana kehendaknya tidak dipenuhi. Oleh kerana malu, ada ibu bapa memenuhi kehendak si anak dengan harapan mampu meredakan ketegangan. Ada kalanya kesabaran ibu bapa turut teruji dengan tingkah laku si anak yang pasti memeningkan kepala. Tidak tahan dengan sikap melampau anak, segelintir ibu bapa pula melampiaskan rasa marah melalui pelbagai cara antaranya, berteriak atau menempeleng anak tanpa rasa simpati.
  • Apapun, pengetahuan untuk mengendalikan anak ketika mereka mengamuk memang perlu jika tidak mahu keadaan itu berterusan.
  • Bahkan, emosi anak juga perlu dipelajari kerana tindakan yang keras dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan diri atau psikologi dirinya.
  • Mengawal tabiat anak mengamuk boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, antaranya:

  • Mengalih perhatian anak apabila mereka menunjukkan tanda hendak mengamuk misalnya muka anak kemerahan atau mula hendak menangis. Keadaan ini membolehkan ibu atau bapa tidak terlalu beremosi untuk menangani anak berkenaan.
  • Apabila si anak mula membuat perangai, si ibu pula menangis. Melihat ibunya menangis, anak itu mungkin bertanya keadaan ibunya itu. Si ibu pula boleh menjawab, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam. Jawapan itu boleh membuatkan si anak berhenti meragam lalu mungkin terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan si ibu untuk memujuk anak yang menangis dan meragam.
  • Tenang menghadapi kerenah anak. Baca surah al-Inshirah untuk menenangkan diri sendiri. Berdoalah supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoa untuk anak dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.
  • Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana ia tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan perkara yang tidak dapat dilakukannya. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah serta bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu anak tenang semula.
  • Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkannya sebentar. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A Book of Child Care menyatakan, ketika anak mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri sendiri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk.
    • Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas gara-gara cubaannya mendapatkan sesuatu tidak dipedulikan. Mungkin apabila tidak diendahkan, dia akan sedar dengan sendiri bahawa perbuatannya salah.
  • Apabila anak berhenti mengamuk, berbicara dengan mereka mengenai perangainya yang tidak elok serta sebab permintaannya tidak boleh dipenuhi.
  • Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak wajar kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila mereka mengamuk, anak tahu kelemahan orang tuanya dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Selain itu, jika dilayan, jangka masa mengamuk akan lebih panjang.
  • Pendekatan tidak peduli mungkin boleh mengajarnya tidak mengulangi perbuatan itu. Selepas dua tiga kali anda tidak memenuhinya, dia tidak akan mengamuk lagi.
  • Selasa, 20 Januari 2009

    Latih daya tumpuan kanak-kanak

    KANAK-KANAK sering tidak dapat memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara. Walaupun tidak dianggap sebagai penyakit, ia tetap membimbangkan ibu bapa. Tiada guna si kecil itu dipukul atau dimarahi sebaliknya cuba cara berikut yang disarankan Pensyarah Fakulti Psikologi, Universiti Chung San, Profesor Gao Ting Kok. Katanya, daya tumpuan kanak-kanak boleh mula dilatih sejak mereka berusia satu hingga dua tahun. Apabila bercerita, pastikan cerita berkenaan pendek, bahasanya pula berkaitan dengan kanak-kanak selain penggunaan gambar warna-warni. Untuk kanak-kanak berumur antara tiga hingga empat tahun, mulakan aktiviti mudah misalnya mencantum gambar. Kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun pula boleh diminta melengkapkan sesuatu kerja dalam jangka waktu ditetapkan.

    Kanak-kanak juga boleh mengulangi cerita yang lebih kompleks yang sudah diceritakan kepada mereka.

    Apabila mereka sudah memasuki bangku sekolah, latihan perlu ditekankan kepada mempelajari matlamat pembelajaran lebih khusus dan memupuk minat yang lebih stabil. Anak juga perlu kerap melakukan kerja rumah kerana ia boleh membantu menguatkan daya tumpuan. Di peringkat sekolah menengah pula, mereka akan mengalami perubahan biologi dan psikologi menyebabkan emosi mudah terganggu. Justeru, apabila anak-anak tidak dapat memberi tumpuan, usah marahkan mereka dengan nada suara yang tinggi. Sebaliknya, ibu bapa boleh melakukan aktiviti yang membantu meningkatkan daya tumpuan mereka seperti bermain ping pong dan badminton. Menurut Profesor Gao, kajian menunjukkan ping pong dan badminton membolehkan tumpuan diberi pada objek yang bergerak untuk jangka masa yang panjang sekali gus menjadikannya cara yang baik untuk meningkatkan daya tumpuan secara berterusan. Sekiranya anak tidak dapat menumpukan perhatian yang lama ketika pembelajaran, cuba kaedah berikut:

  • Lakukan beberapa aktiviti yang saling tidak bercanggah misalnya mempelajari perkataan bahasa Inggeris ketika menggosok gigi.
  • Pilih persekitaran lebih sunyi untuk tujuan pembelajaran
  • Jika keadaan mengizinkan, kunyahlah gula-gula getah. Mengikut kajian psikologi terkini, mengunyah gula-gula getah boleh membantu meningkatkan daya tumpuan untuk jangka masa panjang.
  • Rabu, 14 Januari 2009

    Doa sebagai cara didik zuriat

    MELIHAT anak hari ini yang agak nakal, sering membuat ibu bapa pening.

    • Segelintir daripada kita menuding jari terhadap ibu bapa kerana gagal melaksanakan tugas atas alasan terlalu sibuk mengejar material sehingga mengabaikan anak sendiri.
    • Sebenarnya banyak sebab yang boleh mengheret anak menjadi nakal, degil, derhaka dan pelbagai perkara negatif sehingga meresahkan ibu bapa, sekolah mahupun masyarakat keseluruhannya.
    • Menurut Penasihat Tetap Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Datuk Dr Fadzilah Kamsah, kurang berdoa dalam proses mendidik menjadi sebab anak degil dan tidak mencapai kecemerlangan yang diharapkan.Beliau berkata, doa tidak makbul jika solat tak dijaga oleh ibu bapa sendiri kerana ia tiang agama.
    • "Peliknya, tanpa sebarang doa mengiringi anak untuk meraih kejayaan dalam hidup tetapi ibu bapa menyimpan angan-angan untuk melihat kejayaan mereka.
    • "Kalau mereka sendiri sebagai induk dalam keluarga yang menjadi teladan kepada anak tidak melakukan perkara yang baik terutama mendirikan solat lima waktu, tidak menjaga susila sepatutnya, bagaimana hasrat hendak melihat anak berjaya akan termakbul?
    • "Pastikan jika mahu anak berjaya dalam pelajaran, ibu bapa juga perlu menitipkan doa untuk kecemerlangan guru," katanya.
    • Masalah lain yang melanda fenomena anak sekarang katanya, didorong sikap kurang tegas dalam mendidik anak sama ada berkaitan waktu belajar, mengaji, tidur atau riadah.
    • Biarpun bukan semua perkara itu mampu dilakukan dengan sempurna, tanggungjawab ibu bapa amat besar dalam membentuk disiplin sekali gus memastikan setiap peranan itu seiring dengan tindakan yang dilakukan.
    • Dia turut merumuskan petua lain untuk menjadikan anak cemerlang iaitu dengan mengamalkan makan malam bersama dan hendaklah dilakukan sebelum Maghrib.
    • "Lebih banyak memberi belaian negatif (tarhib) daripada belaian positif (targhib) juga menjadi punca kegagalan yang diperkatakan.
    • "Ibu bapa juga dikesan kurang pandai menjadi kawan kepada anak hingga menjadikan mereka melupakan ibu bapa sendiri dengan cara mencari rakan sebaya sebagai tempat mengadu masalah.
    • "Pada zaman serba canggih, ibu bapa sepatutnya menjadikan mereka sebagai rakan dengan mengetahui dengan siapa anak bergaul, ke mana mereka pergi dan pergaulan yang bagaimana menjadi amalan.
    • "Namun, pada masa sama, rasa hormat dalam batas yang wajar tetap terpelihara," katanya.
    • Dalam kebanyakan ceramah atau motivasi yang diberikan Dr Fadzilah, beliau kerap menekankan aspek kurang memberi sentuhan kepada anak menjadikan anak degil dan tidak mendengar kata.
    • Menurutnya, anak memerlukan sentuhan kasih sayang yang sama rata dan jangan sama sekali membezakan kasih sayang sesama mereka.
    • "Jika ibu bapa tidak kasihkan anak, anak juga tidak kasih kepada orang tuanya.
    • "Amalkan mendakap dan memeluk anak yang akan mendatangkan kesan kepada mereka iaitu badan sihat, tahap kecerdasan tinggi, yakin dan mudah ikut contoh baik daripada orang yang berjaya.
    • "Sebenarnya, anak yang selalu bercakaran sesama sendiri berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat kasih sayang yang sama rata daripada ibu bapa mereka," katanya.

    Jumaat, 9 Januari 2009

    Pedoman: Usah ikut perangai buruk

    RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata:” Saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah, dan jika mereka berbuat jahat, elakkan kejahatan mereka”. (Riwayat at-Tirmidzi)

    • Mengambil intipati daripada hadis itu, ia jelas menggambarkan betapa manusia memerlukan pedoman yang betul supaya kehidupan tidak tenggelam timbul dengan kejahatan dan keburukan tanpa mempunyai pegangan agama, kesedaran dan tanggungjawab.

    • Orang yang mudah terikut-ikut dengan tabiat buruk orang lain lama kelamaan akan menempah banyak kesusahan bahkan diri tidak akan tertanggung dengan kejahatan walaupun ia sendiri tidak pernah melakukannya.

    • Ini disebabkan tabiat masyarakat itu mudah menghukum sesuatu berdasarkan apa yang mereka lihat dengan mengambil kira dengan siapakah seseorang itu bergaul atau bersahabat.

    • Sebagai seorang Islam, hendaklah kita berwaspada dengan golongan yang buruk akhlaknya. Tonjolkan akhlak yang baik terhadap mereka agar suatu ketika nanti kebaikan tersebut akan menyerap ke dalam jiwa mereka kerana sifat manusia itu mudah dipengaruhi dan terpengaruh.

    • Orang yang lemah pendiriannya akan mudah terpengaruh dan begitulah sebaliknya. Hakikatnya memang mudah untuk seseorang itu cenderung melakukan kejahatan atau khianat terhadap orang lain.

    • Ingatlah, manusia tidak akan sedar bahawa dirinya menanggung dosa, kecuali orang soleh yang sentiasa mengingati mati sedangkan mati itu tidak mengenal ketika dan usia seseorang.
    • Justeru, kita dituntut supaya sentiasa beristighfar dan bersifat dengan sifat mahmudah serta malu untuk melakukan perbuatan yang dilarang sehingga mencemarkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

    Khamis, 8 Januari 2009

    Aktiviti berjemaah erat hubungan suami isteri

    SESETENGAH pasangan suami isteri kurang mengerti mengenai adab dan aturan berumah tangga. Disebabkan kejahilan itu, hubungan yang terjalin mudah menjadi longgar, pudar dan tidak bermaya. Justeru, Islam menggariskan adab tersendiri bagi memastikan hubungan suami isteri sentiasa segar dan tidak mudah goyah. Berikut, antara adab yang digariskan sebagaimana dijelaskan cerdik pandai Islam:
    • Bersikap lemah lembut, terutama suami terhadap isteri. Jangan sekali-kali berlaku kasar terhadap isteri. Ini kerana Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 19, bermaksud: “Dan pergaulilah isteri kamu semua dengan cara yang paling baik.”
    • Pada kali pertama bersua, iaitu pada malam pertama, suami dianjurkan memegang isteri pada ubun-ubunnya.
    • Digalakkan supaya mengerjakan solat sunat dua rakaat secara berjemaah sebelum melakukan hubungan seksual.
    • Isteri hendaklah mentaati suami dalam perkara yang disuruh, selagi suruhan dan nasihat itu tidak bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.
    • Banyak melakukan aktiviti secara berjemaah seperti makan bersama, membaca al-Quran bersama, menunjuk ajar anak-anak dan mandi bersama.
    • Setiap pasangan suami isteri hendaklah tampil di hadapan yang lain dalam keadaan kemas, bukannya kusut masai dan dalam keadaan tidak terurus.
    • Tidak menceritakan hubungan dengan pasangan kepada orang lain kerana Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling jahat kedudukannya di hadapan Allah pada hari kiamat nanti iaitu seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan seorang perempuan yang berjimak dengan suaminya, kemudian disiarkan rahsianya itu kepada orang lain. (Hadis riwayat Muslim)
    • Setiap suami dan isteri makruh melihat aurat antara satu sama lain. Nabi s.a.w tidak pernah melihat aurat isterinya.
    • Ketika berjimak, suami tidak digalakkan melakukan ‘azal (memancutkan air mani di luar faraj isteri) kerana ia akan memutuskan kenikmatan.
    • Suami diwajibkan menyara isteri dan membelikan pakaian untuknya.
    • Suami dilarang meninggalkan daripada bertegur sapa dengan isteri di luar rumah walaupun ketika nusyuz.
    • Suami dilarang memalukan isteri, menjauhi isteri dan memukul isteri pada bahagian muka. Ini kerana ada hadis bermaksud: “Seorang sahabat telah bertanya kepada nabi mengenai hak seorang isteri terhadap suaminya. Nabi s.a.w menjelaskan: Engkau memberinya makan apabila engkau makan dan memberikannya pakaian apabila engkau memakai dan janganlah engkau memukul wajahnya dan janganlah engkau memalukannya dan janganlah engkau menjauhinya kecuali di dalam rumah sahaja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud)
    • Suami dilarang melakukan hubungan jimak dengan isteri ketika isteri dalam keadaan haid. Sebaik saja isteri suci, suami dihalalkan mendatanginya dengan syarat selepas mandi hadas besar.
    • Sekiranya suami itu berpoligami, hendaklah berlaku adil kepada setiap isterinya.